KLANG – Mayat dua mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, semalam dijangka menjalani proses pengecaman dan bedah siasat di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, pagi ini.

Nahas udara yang mengorbankan dua mangsa dikenali sebagai Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 dan Roshaan Singh Raina, 42,  telah dituntut keluarga masing-masing.

Salah seorang ahli keluarga kepada dua mayat mangsa nahas udara yang terhempas di Kg Tok Muda hadir ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi proses pengecaman dan bedah siasat, pagi ini.

Terdahulu sebuah kereta SUV menggunakan nombor pendaftaran Johor yang dinaiki dua individu kelihatan mendekati pintu utama Jabatan Forensik HTAR jam 8.05 pagi yang dipercayai ahli keluarga kepada salah seorang mangsa nahas iaitu Roshaan Singh.

Lima minit kemudian seorang lelaki Cina kelihatan berjalan kaki ke arah bangunan utama HTAR ditemani pegawai perubatan dipercayai ahli keluarga kepada seorang lagi mangsa, Yee.

Salah seorang ahli keluarga kepada dua mayat mangsa nahas udara yang terhempas di Kg Tok Muda hadir ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi proses pengecaman dan bedah siasat, pagi ini.

Semalam, mayat kedua-dua mangsa yang terlibat dalam nahas udara di Kampung Tok Muda, Kapar, berjaya dibawa keluar dari bangkai pesawat ringan kira-kira jam 7.55 malam.

Kedua-dua mayat itu dibawa menaiki trak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berasingan ke HTAR bagi tujuan bedah siasat dan pengecaman.

Kedua-dua mangsa merupakan ahli kepada kelab penerbangan rekreasi, dan dipercayai Yee sedang melatih Roshaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua mangsa tersebut berusia antara 30 hingga 42 tahun, dan sedang menjalani latihan penerbangan rekreasi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa berada dalam kokpit pesawat yang terbenam kira-kira dua meter.

Sebelum ini Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan seramai dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Kampung Tok Muda.

Pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC), yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi. – MalaysiaGazette