MUAR – Seorang warga Singapura didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memecahkan cermin kenderaan seorang pengguna jalan raya di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara Selatan, Pagoh pada Sabtu lepas.

Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Soh Kian Hui, 45, dan mengarahkannya dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Soh didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin belakang kereta jenis Toyota Fortuner milik Khairul Husni Shah Jamil, 31, yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM2,502.35.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 1.58 tengah hari, 10 Februari lepas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Soh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norain Sakina Zikri memohon hukuman ringan memandangkan dia bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan sekitar S$3,000 dan menjaga ibunya berusia 71 tahun yang baharu menjalani pembedahan kanser.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Ariff Marzuki memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam selepas kejadian itu tular di media sosial. – Bernama