Inland Revenue Board IRB income tax taxation system Budget 2022
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Warganegara asing yang terlibat dalam ekonomi bayangan sama ada menjalankan perniagaan atas nama sendiri atau rakyat tempatan tidak terkecuali daripada membayar cukai, tegas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan termasuk penalti sekiranya semakan LHDN mendapati mereka gagal melaporkan jumlah pendapatan dan mematuhi undang-undang percukaian.

“Kita (akan) memastikan bukan sahaja warga asing itu sendiri malah juga orang di belakang mereka (warga tempatan) kerana ramai juga warga asing yang mungkin menggunakan lesen orang tempatan dan sebagainya.

“Kita akan membuat semakan terhadap warga tempatan terbabit sama ada mereka mematuhi undang-undang percukaian (atau sebaliknya),” katanya kepada pemberita selepas program ‘Sesi Libat Urus KPE Hasil Bersama Dengan Media’ di sini, pada Khamis.

Beliau menekankan pihak LHDN telah mengenal pasti beberapa lokasi aktiviti ekonomi bayangan dan akan turun padang untuk bersemuka dengan kumpulan itu.

Abu Tariq berkata, aktiviti ekonomi bayangan telah mewujudkan kesan besar terhadap jurang cukai negara.

Ekonomi itu sering dikaitkan dengan perniagaan tidak berdaftar dan tidak berlesen yang tidak membuat pengisytiharan cukai termasuk pekerjaan sambilan yang menerima gaji atau upah secara tunai untuk mengelakkan pelaporan pendapatan, katanya.

Pada 2023, media melaporkan bahawa Malaysia dianggarkan kehilangan kira-kira RM70 bilion setiap tahun dalam bentuk hasil cukai akibat aktiviti ekonomi bayangan.

Jumlah itu adalah kira-kira 20 peratus daripada anggaran keseluruhan pendapatan ekonomi bayangan bernilai RM350 bilion setahun dan nilai itu adalah 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Ketika berucap pada program tersebut, Abu Tariq berkata sasaran kutipan cukai langsung bagi 2024 adalah RM197 bilion dan LHDN telah merancang pelbagai strategi untuk mengoptimumkan pematuhan cukai sekali gus mencapai sasaran itu.

Beliau berkata, selain tumpuan kepada aktiviti ekonomi bayangan, LHDN akan menyasarkan golongan individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai yang dibuat.

“Mengikut undang-undang, LHDN boleh membuka kembali sesuatu kes bagi tempoh lima tahun kebelakang dan jika ada elemen kecuaian dan penipuan tiada had masa ditetapkan.

“LHDN juga akan memberi tumpuan khusus kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjana pendapatan melalui aktiviti dalam talian,” katanya.

LHDN akan mengadakan sambutan Hari Hasil ke-28 pada 1 Mac, 2024 dengan pelbagai program termasuk kaunter Sumbangan Tunai Rahmah; kaunter percukaian/e-perkhidmatan/HASiL Hub; kaunter perkhidmatan agensi awam dan swasta; taklimat dan kaunter e-invoicing. – Bernama