KUALA LUMPUR – Pelawak Ali Puteh akhirnya berjaya mengumpul RM75,000 hasil penjualan barangan peribadi dan produk makanan bagi melunaskan hutang kepada kakak iparnya, Nor Hidayah Hamzah.
Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 35, berterima kasih kepada pembeli kereta, motosikal serta sambal yang diusahakan bersama isterinya, Melati Fitri Abdullah.
Hasil jualan berkenaan dipercayai akan digunakan untuk melangsaikan tuntutan saman yang dibuat Hidayah yang merupakan balu kepada abangnya Allahyarham Abam Bocey.
Sebelum ini, Ali yang juga bapa kepada seorang anak itu menjual kereta Honda Accord miliknya bagi mengumpul wang bagi membayar hutang berkenaan.
Dia urut menjual barangan kesayangan lain, termasuk sebuah motosikal RXZ.
Lebih menarik perhatian netizen apabila Ali sanggup melepaskan trofi kemenangan dalam program televisen yang pernah disertai sebelum ini termasuk Maharaja Lawak Mega.
Sebelum ini kakak iparnya itu mendedahkan Ali masih belum menjelaskan hutang kepadanya sebanyak RM75,000. – MalaysiaGazette