KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dikurniakan ‘Professor of Practice Award’ (Pengurusan Strategik) oleh Universiti Geomatika Malaysia (UGM) ketika Majlis Konvokesyen UGM ke-16 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Irmohizam yang juga Pengarah Urusan Kumpulan, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dikurniakan anugerah tersebut oleh Canselor UGM, Toh Puan Asmah Abdul Rahman.
“Saya amat berbesar hati menerima ‘Professor of Practice Award’ dari UGM ini. Sebagai Pro-Canselor 1 UGM, pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi saya dalam bidang akademik.
“Saya akan berusaha untuk menyumbang kepada persekitaran pembelajaran bukan sahaja menyampaikan ilmu bahkan memupuk pemikiran kritis, kreatif, dan belas kasihan terhadap kemajuan warga UGM,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Ia merupakan salah satu anugerah akademik tertinggi yang dikurniakan UGM kepada individu bagi mengiktiraf perkhidmatan berjasa mereka kepada institusi pengajian tinggi itu.
Penganugerahan ini juga turut mengiktiraf nilai yang diraih oleh individu tersebut atas jasa dan sumbangannya terhadap UGM dan ia membawa gelaran Profesor.
Sumbangan Irmohizam dalam dunia korporat melangkaui peringkat nasional dan ini dibuktikan dengan peranan beliau dalam pelbagai organisasi antarabangsa yang disegani.
Irmohizam juga merupakan rakyat Malaysia pertama yang dilantik untuk menganggotai Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.
Beliau juga aktif dalam menerajui industri Acara Perniagaan di Malaysia dan di peringkat global.
Komitmen Irmohizam terhadap pembelajaran berterusan telah menjadikan beliau teladan dan inspirasi kepada individu lain yang berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pilihan mereka dan menunjukkan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat. – MalaysiaGazette