Pihak KDN menyita sejumlah minyak diesel ketika melaksanakan Op Tirisdi Kuantan pada hari ini

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menahan dua lelaki kerana tidak memiliki permit kebenaran mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Gambang, dekat sini, dalam Ops Tiris, hari ini.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, mereka yang merupakan pemandu lori ditahan ketika sedang mengisi minyak ke dalam tong drum yang berada di atas lori pada jam 6 pagi.

“Dalam kejadian tersebut, pasukan penguatkuasa KPDN Pahang telah bertindak menyita sebanyak 1,231 liter minyak diesel dan kedua-dua buah lori yang digunakan dengan nilai keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM47,867.81,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Jezlily, tiga kertas siasatan telah dibuka membabitkan dua individu itu dan stesen minyak kerana menjual kepada individu yang tidak memiliki permit kebenaran yang sah.

Tambah beliau, kes di siasat dibawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan individu yang ditahan telah dilepaskan dengan jaminan pihak polis.

Katanya, AKB 1961 memperuntukan didenda tidak lebih RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. – MalaysiaGazette