Ketua Aduan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF), Mohammad Rosli Yaakob bercakap pada sidang media berhubung isu kelewatan bayaran jualan saham dan pengeluaran dividen di bangunan Koperasi Permodalan Felda Malaysia, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan Felda (KPF) telah memberi jaminan untuk membayar tunggakan dividen lebih 200,000 ahlinya secara berperingkat bermula akhir bulan ini.

Jurucakap kumpulan ahlinya, Mohd. Nazari Mokhtar berkata, pada masa sama, KPF juga berjanji akan menyelesaikan pembayaran penebusan sijil saham pelaburnya selewat-lewatnya awal Mac depan.

Menurut beliau, jaminan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi KPF yang mencapai Keputusan bersama secara positif.

“Kami berharap keputusan yang dicapai hari ini akan dilaksanakan kerana rata-rata ahli KPF merupakan golongan peneroka berpendapatan rendah dan warga emas. Sebahagian daripada kami juga ialah anak-anak peneroka dan ada juga merupakan pesara kerajaan.

“Ahli KPF sebenarnya menyimpan wang di koperasi ini dengan harapan akan dapat menggunakannya dalam masa-masa kecemasan dan untuk kegunaan pada hari tua.

“Pelabur memerlukan wang atas pelbagai urusan seperti menampung perbelanjaan harian, kos perubatan, menunaikan umrah dan haji, membaiki dan membina rumah, mengadakan kenduri dan sebagainya.

“Lebih-lebih lagi menjelang  sambutan Ramadan dan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi,  pelabur sangat memerlukan wang mereka dan terdapat juga ahli yang ingin menjual syer mereka untuk menampung keperluan pendidikan anak-anak di peringkat pengajian tinggi dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas wakil Kumpulan Ahli KPF mengadakan dengan pengurusan tertinggi di Balai Felda di sini hari ini.

Jurucakap Kumpulan Ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF), Nazari Mokhtar bercakap pada sidang media berhubung isu kelewatan bayaran jualan saham dan pengeluaran dividen di bangunan Koperasi Permodalan Felda Malaysia, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 FEBRUARI 2024.

Ketika ini, KPF berdepan isu tidak membayar dividen pada tahun tahun lalu dengan kadar lima peratus kepada lebih 200,000 ahlinya selain permohonan penebusan sijil saham yang tidak diluluskan sejak Julai 2023.

Mengulas lanjut, Nazari menambah, pihaknya sedar KPF kini berdepan aliran wang tunai walaupun berdepan jumlah aset yang melebihi RM4 bilion.

Padahal katanya, koperasi itu pernah dinobatkan sebagai antara koperasi terbaik di Malaysia sebelum ini dan pernah membayar kadar dividen sekitar 20 peratus.

Namun apa yang berlaku hari ini telah menyebabkan  ramai pelabur KPF hilang kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap koperasi itu.

“Kami turut menggesa campur  tangan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Usahawan  dan Koperasi, Ewon Benedict bagi meneliti dan menyelesaikan kemelut ini,” katanya.

Sementara itu, suasana sedikit tegang apabila pasukan keselamatan di Balai Felda hanya membenarkan sidang media berlangsung hanya lima minit sahaja dan meminta ahli yang hadir keluar daripada kawasan bangunan itu.

Ini menyebabkan beberapa ahli berang kerana mendakwa datang secara elok untuk menuntut hak mereka dan tidak berniat membuat sebarang provokasi. – MalaysiaGazette

Antara Ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) yang hadir pada sidang media berhubung isu kelewatan bayaran jualan saham dan pengeluaran dividen di bangunan Koperasi Permodalan Felda Malaysia, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 FEBRUARI 2024.