Tertuduh, M Gopalan Krishnan, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menipu pengarah urusan sebuah syarikat berjumlah hampir RM1.03 juta tahun lalu.

MELAKA – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menipu pengarah urusan sebuah syarikat berjumlah hampir RM1.03 juta tahun lalu.

Tertuduh, M Gopala Krishnan, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Yap Koh Cheng, 69, untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan tender pajak ladang kelapa sawit.

Tindakan itu dengan curangnya telah mendorong lelaki itu menyerahkan wang berjumlah RM1,029,000, yang mana dia tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan Perindustrian Lendu, dalam daerah Alor Gajah pada Jun 2023.

Sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM45,000 kerana kesalahan melibatkan nilai kerugiaan yang tinggi.

Tertuduh yang diwakuli peguam K Shareveen dan Daniel Savarimuthu bagaimanapun merayu jaminan ringan kerana tertuduh mempunyai lima anak yang masih kecil berusia satu hingga 10 tahun.

Anak guamnya juga katanya, hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan perlu menjaga ibu yang sakit.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000, melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan pasport diserahkan ke mahkamah.

Mahkamah menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang pengarah urusan sebuah syarikat dihubungi pemandu lori dikenali ‘Neliar’ pada Jun tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dilaporkan berkata, pemandu lori berkenaan kemudian menawarkan satu tender pajak ladang kelapa sawit di Melaka dan Ipoh masing-masing berkeluasan 485.6 dan 607 hektar kepada mangsa yang juga pengadu kes itu.

Hasil perbincangan, pengadu bersetuju untuk menyertai pelaburan itu dan diminta untuk mendepositkan wang berjumlah RM15,000 serta dijanjikan akan menerima sijil menang tender.

Bermula pada 17 Julai 2023 hingga 2 Januari lalu, pengadu telah membuat 45 kali bayaran secara berperingkat ke dalam enam akaun bank berbeza sehingga keseluruhannya berjumlah RM1,029,000.

Namun sehingga kini, pengadu yang juga pengarah syarikat berkaitan produk sawit dan ladang di Masjid Tanah tidak menerima sijil sepertimana dijanjikan dan berasa telah diperdaya dalam urusan tersebut. – MalaysiaGazette.