KUALA LUMPUR – Tiga lelaki Myanmar yang juga Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditangkap dengan rampasan dadah bernilai RM109,240.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, mereka yang menjadikan pasar borong sebagai sasaran ditahan dalam serbuan di Taman Sri Kuching, di sini awal pagi Selasa lalu.
Rampasan itu membabitkan dadah jenis pil yaba seberat 1,604 gram, ganja (104 gram), daun kering disyaki ganja (20 gram) dan syabu (102 gram).
“Siasatan polis mendapati bekalan dadah ini dipercayai untuk pasaran sekitar di Kuala Lumpur, selain menyasarkan kepada pekerja warga Myanmar di pasar borong tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mereka dipercayai mendapat bekalan dadah daripada seorang individu dari Pantai Timur sejak enam bulan lalu.
Suspek mengaku mereka menjual sebiji pil yaba dengan harga RM11 mengikut permintaan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan polis untuk mengenal pasti saki baki ahli sindiket dan sumber bekalan dadah terbabit.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga 19 Februari depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette