Anwar. Gambar FB SKMM.

PERMATANG PAUH – Kerajaan akan mempercepatkan proses peruntukan bagi projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, dekat sini, bagi menampung keperluan mendesak pada masa kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pulau Pinang terkenal sebagai lokasi tarikan pelancongan yang berjaya namun berdepan masalah kesesakan di LTAPP.

“Tadi saya tanya Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) mengenai transit aliran ringan (LRT) tapi ada perkara mendesak membabitkan LTAPP jadi kerjaaan bersetuju untuk perbesarkan prasarana tersebut.

“Dari segi Kerajaan Persekutuan projek ini mungkin bermula pada akhir tahun, jadi hari Rabu depan saya minta kemukakan laporan berkaitan LTAPP dalam mesyurat jemaah menteri untuk saya lihat boleh tak kita percepatkan projek itu kerana ia mengambil masa dua, tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, di sini.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar mengumumkan pembesaran LTAPP dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor ketika pembentangan Belanjawan 2023.

LTAPP telah dinaik taraf pada 2013 untuk menampung 6.5 juta penumpang setahun tetapi penumpang berkembang pesat, menjelang 2019, ia mencatatkan sejumlah 8.3 juta penumpang setahun.

Kementerian Pengangkutan meluluskan cadangan pembesaran LTAPP ketika pentadbiran Pakatan Harapan tetapi ia ditangguhkan selepas berlaku pertukaran pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada awal tahun 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast