Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Urusan perniagaan berkaitan dadah dipercayai punca seorang wanita diiculik di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sentul, di sini, selama 10 jam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, polis menerima aduan tentang kejadian itu daripada suami mangsa berusia 30 tahun pada hari sama.

Ahmad Sukarno menambah bahawa, pengadu yang bekerja sebagai seorang mekanik memaklumkan bahawa suspek meminta membayar hutang rakannya dipercayai membabitkan urusan jual beli dadah sebanyak RM100,000.

“Berdasarkan maklumat diterima itu, pasukan polis berjaya melakukan serbuan kira-kira jam 3 pagi, Selasa lalu, di Bukit Damansara dan Sentul sebelum menangkap empat lelaki serta seorang wanita berusia 25 hingga 31 tahun.

“Tindakan pantas diambil pihak polis ini juga berjaya menyelamatkan mangsa yang ditemui tanpa sebarang kecederaan ketika dalam tahanan suspek di Sentul,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul tengah hari ini.

Ahmad Sukarno menambah, pengadu yang bekerja sebagai seorang mekanik memaklumkan suspek meminta membayar hutang rakannya dipercayai membabitkan urusan jual beli dadah sebanyak RM100,000.

“Sepanjang tempoh mangsa dilarikan, pengadu telah menyerahkan wang RM45,000 kepada suspek sebelum mereka ditahan pihak polis.

“Polis masih memburu seorang lagi suspek kumpulan yang masih bebas iaitu, Mohd Daniel Harris Azmi, 26, beralamat terakhir di Sungai Petani, Kedah yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Semakan yang dibuat polis juga mendapati semua suspek ditahan termasuk seorang lelaki yang masih bebas itu mempunyai rekod lampau kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.

Jelasnya, dalam serbuan dan tangkapan sama, polis juga berjaya merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang dipecayai digunakan oleh suspek untuk melarikan mangsa.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung suspek yang masih bebas boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujar beliau.- MalaysiaGazette