Gambar hiasan.

CUTI panjang persekolahan kembali lagi. Majoriti ibu bapa telah pun merancang sesi percutian bersama keluarga malah ada yang telah pun mula bergerak ke kampung halaman sebaik sahaja cuti sekolah bermula. Jalan raya utama di bandar-bandar yang penuh sesak saban hari pada waktu puncak, mula lengang dek aktiviti perlumbaan keluar dari ibu kota oleh majoriti keluarga Malaysia.

Generasi anak-anak yang sedang pesat membesar sekarang, atau lebih dikenali sebagai ‘Gen Alpha’, merupakan kelompok generasi yang dilahirkan dan dibesarkan di dalam zaman teknologi yang sangat pesat berkembang. Gen Alpha hidup seiring dengan perubahan sistem dan teknologi yang senantiasa berubah dari satu tahap kepada tahap lain yang lebih canggih dan kompleks, dalam sela masa yang singkat. Justeru, tidak menjadi persoalan pada hari ini jika gajet dan anak-anak tidak dapat dipisahkan di dalam rutin seharian. Apa jua aktiviti fizikal, ke mana pun arah dituju, gajet pasti melekap di sisi anak-anak pada hari ini.

Saban hari, seorang pelajar sekolah pasti akan menghabiskan sebahagian masanya membelek gajet peribadinya untuk mencari informasi, menyiapkan tugasan, berdiskusi tentang pelajaran dan merancang rutin harian. Tambahan lagi, hiburan, gossip dan ceritera orang-orang masyhur menjadi kemestian untuk diselidiki oleh anak-anak dan belia hari ini, melalui gajet masing-masing. Masa seharian lebih banyak diperuntukkan untuk menggodek gajet peribadi berbanding berkomunikasi atau bersua fizikal dengan ahli keluarga dan kenalan. Persoalannya, sejauh mana kebebasan penggunaan gajet harus diberikan dalm rutin harian seorang anak?

Cuti sekolah adalah peluang yang sangat baik untuk merubah rutin penggunaan gajet anak-anak. Pelbagai cara dan perancangan boleh diilhamkan untuk menjadikan ruang cuti sekolah anak-anak lebih bermakna. Elemen hiburan dan aktiviti keluarga pasti lebih seronok di musim cuti ini, andai setiap aktiviti dipenuhi bersama setiap ahli keluarga, tanpa sokongan gajet:

1. Ziarah tempat-tempat menarik dan bersejarah

Semua peringkat umur pasti sukakan percutian ke luar dari kawasan kebiasaan. Aktiviti melawat tempat-tempat bersejarah bukan sahaja dapat menyumbang kepada pengetahuan baru, malah proses lawatan itu sendiri akan mencetus hubungan fizikal ahli keluarga yang sangat bermakna. Situasi melihat, membaca, berdiskusi dan melontar pandangan akan berlaku sepanjang urusan menganalisis kawasan atau fossil tinggalan sejarah tersebut.

2. Riadah bersama

Rancang aktiviti fizikal yang kerap bersama-sama ahli keluarga. Mandi-manda di pantai, berbasikal di taman botani, memanjat bukit, meniup gelembung buih bersama-sama di taman permainan dan berkebun atau menanam tumbuhan herba di kawasan rumah merupakan antara aktiviti fizikal keluarga yang memberi banyak manfaat kepada setiap ahli keluarga yang menyertainya. Bukan sahaja hubungan akan menjadi semakin erat, tubuh badan juga bertambah sihat seterusnya merangsang minda yang kekal positif dan cergas. Aktiviti fizikal sebegini tidak memerlukan waktu percutian panjang dan tertentu untuk kita melakukannya. Hujung minggu yang senggang adalah hari terbaik untuk berkumpul bersama-sama merealisasikan aktiviti-aktiviti regangan otot ini.

3. Tetapkan waktu maksima penggunaan gajet

Ibu-bapa boleh menetapkan waktu penggunaan gajet harian kepada anak-anak. Dengan penglibatan setiap ahli keluarga dalam aktiviti fizikal, percutian atau lawatan, penetapan atau syarat penggunaan gajet ini dapat berlaku dengan lebih mudah. Sebagai contoh, dalam sehari, beri kelonggaran untuk anak melayari tablet atau telefon pintar masing-masing, tetapi dalam sela masa yang tertentu sahaja. Jika kebiasaannya, anak menghadap skrin selama 4 jam sehari, ubahlah syarat tersebut kepada menjadi 2 jam sahaja dalam sehari. Sekiranya banyak aktiviti fizikal sekeluarga yang berkesan diamalkan, anak-anak dengan sendirinya akan kurang fokus kepada gajet mereka.

4. Ubah suai rutin harian keluarga

Cuti sekolah merupakan peluang yang sangat bermanfaat untuk mengubah rutin atau kebiasaan keluarga semasa hari persekolahan. Anak-anak yang bersekolah sepanjang hari dan ibu bapa yang berkerja sepenuh masa, berpeluang bersua muka dan menghabiskan masa bersama-sama hanya beberapa jam sahaja dalam sehari. Waktu senggang cuti sekolah adalah tempoh yang sesuai untuk ibu bapa merombak rutin keluarga. Mengasingkan pakaian atau permainan lama untuk disedekahkan, menyusun atur kerusi meja di ruang tamu, membersihkan rak dan siling serta mengecat bilik tidur adalah antara aktiviti keluarga yang bukan sahaja dapat menggalakkan anak-anak menghargai tempat tinggal mereka, malah dapat memupuk rasa berdikari dan suka menolong. Memasak, makan, membaca dan solat Bersama juga boleh dipraktikkan sepanjang tempoh cuti ini. Pasti, kemesraan dan perhatian yang dipupuk semasa menjalankan kerja rumah bersama-sama ini, menjadi sesuatu yang lebih bermakna buat anak-anak berbanding aktiviti melayari gajet bersendirian.

Gajet merupakan perisai hidup pada zaman ini. Tidak dinafikan, pada zaman globalisasi pesat hari ini, gajet adalah kehidupan. Seseorang yang tidak mempunyai gajet, sebiji telefon pintar misalnya, bakal menanggung risiko dipulau kawan-kawan, kerana mungkin beliau dianggap seorang yang ketinggalan dalam serba segi kehidupan. Malah, anak-anak kecil yang masih belajar beza baik dan buruk sesuatu ungkapan pun, dianggap pelik hari ini jika tidak memegang sebutir gajet milik sendiri. Terbukti, gajet memainkan peranan besar dalam proses tumbesaran dan pembelajaran seorang insan pada era kini.

Namun, penggunaan gajet semata-mata bukanlah penentu ulung masa depan anak-anak yang cerah dan gemilang. Banyak faktor lain yang perlu dititikberatkan dalam urusan mendidik anak-anak. Selain melayari ilmu dan informasi penting melalui gajet, kemandirian hidup perlu diasuh dalam diri setiap insan agar kelak dapat berfikir, merancang dan berusaha sekurang-kurangnya untuk kehidupan dan kejayaan diri sendiri pada masa hadapan. Setiap keluarga seharusnya menanam objektif dalm diri setiap ahli keluarga untuk berjaya di dalam kehidupan diri sendiri dan pada masa yang sama, mampu menyumbang kepada yang memerlukan.

 

 

Penulis:
Dr. Nurjehan Mohamed Ibrahim
Pensyarah di Fakulti Pergigian USIM