Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menegaskan Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan berhubung harga beras.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata, jawatankuasa tersebut hanya boleh memberikan cadangan kepada jawatankuasa pemandu dimana badan itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pengumuman Ahli Parlimen Bukit Gantang bahawa kerajaan akan menggantikan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) dengan beras putih Malaysia Madani adalah satu pengumuman yang janggal dari segi pentadbiran kerajaan dan tidak mematuhi peruntukan undang-undang terlebih lagi ia melibatkan penguatkuasaan akta.

“Jelas bahawa Beras Putih Madani tidak mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] yang menetapkan gred dan harga beras tempatan. Pada masa ini gred beras campuran yang dibenarkan adalah gred super tempatan (ST15) dengan kawalan harga RM1.65/kg hingga RM1.80/kg,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Syed Abu Hussin Hafiz membuat kenyataan bahawa harga beras putih tunggal yang akan menggantikan kategori beras putih tempatan dan import, Beras Putih Malaysia Madani berkemungkinan dijual lebih rendah pada April depan.

Kata Syed Abu Hussin Hafizia berikutan negara pengeluar beras dijangka tidak lagi mengenakan sekatan sepenuhnya terhadap pengimportan beras putih.

Bagaimanapun, kenyataan itu disangkal Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang berkata kerajaan belum membuat sebarang ketetapan mengenai cadangan memasarkan beras putih tunggal yang dikenali Beras Putih Malaysia Madani.

Malah Mohamad berkata pihaknya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengenai isu berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast