BUKIT TENGAH – Pelaksanaan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) dijangka memenuhi sektor domestik dan komersial air Pulau Pinang sehingga tahun 2050.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menghargai peranan dan usaha yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempercepatkan SPRWTS ke negeri ini.

Jelas beliau, usaha itu membuktikan kerajaan dibawah pimpinan Anwar mementingkan kepentingan rakyat di kedua-dua negeri terbabit.

“Semalam dalam lawatan Perdana Menteri ke Pulau Pinang beliau membawa berita baik kepada kita (Pulau Pinang) iaitu telah melakukan perbincangan pelbagai pihak berhubung projek SPRWTS dan ia akan dilaksanakan dengan segera.

“Beliau (Anwar) sendiri berbincang dengan pemegang taruh kementerian berkaitan, kedua-dua kerajaan negeri dan juga pihak konsultan serta swasta yang akan terlibat dalam perlaksanaan projek ini.

“Perdana Menteri menyatakan persetujuan dapat dicapai kerana beliau mahu melihat kepentingan negara melepasi kepentingan negeri-negeri tambahan kerajaan Persekutuan telah umumkan untuk membangunkan Perak Utara menjadi kawasan perindustrian bagi negeri tersebut selain menjadi sebahagian daripada pembangunan ekonomi wilayah utara semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Batu Kawan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Utara, Nurul Izzah Anwar;  Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo dan ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung. – MalaysiaGazette