Penghantaran pertama barangan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin dijadual dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish Mesir melalui penerbangan kargo pada malam di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2023. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sekretariat Induk Ops Ihsan tetap komited dalam menggerakkan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin biarpun tiga individu daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TCS) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Ketua sekretariatnya memberitahu, biarpun begitu pihaknya menyatakan kebimbangan di atas penularan surat daripada kementerian berkenaan.

Bagaimanapun katanya, surat tersebut yang bertujuan menyampaikan nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan langkah berterusan bagi membantu sekretariat dalam pemantapan tata kelola demi memastikan kelancaran urusan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Ops Ihsan adalah kolaborasi strategik di mana agensi kerajaan dan NGO bekerjasama penuh demi satu tujuan, membantu rakyat Palestin yang terkesan dalam konflik kemanusiaan yang semakin parah ketika ini.

“Pendekatan ini telah diterapkan semenjak Ops Ihsan menjadi satu realiti pada November 2023 dan telah berjaya melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Sekreatriat itu lagi, di setiap perbincangan, wakil Kementerian Luar Negeri dan agensi kerajaan sentiasa berkongsi maklumat terkini dan sering menasihatkan setiap NGO mengenai kepentingan menjaga tata kelola dalam urusan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

Justeru katanya, Sekretariat Induk Ops Ihsan komited menggerakkan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan tersebut melalui penggemblengan lebih 50 buah NGO di negara ini dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri selaku agensi penyelaras.

“Isu terkait keselamatan sepertimana kandungan surat yang ditularkan kini diberi perhatian utama dalam memastikan segala atur gerak Ops Ihsan dilaksanakan dengan baik, teratur dan tersusun berdasarkan pendekatan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Semalam, pasukan misi kemanusiaan Ops Ihsan mengesahkan kesahihan surat diterima dari Kementerian Luar memaklumkan tiga individu daripada NGO Islam disenaraikan dalam TCS oleh FBI.

Tiga nama individu berkenaan adalah dari NGO Dunia Melayu Dunia Islam, Datuk Abu Bakar Abdul; Persatuan Cinta Syria, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman dan Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut.

Menerusi surat berkenaan, pihak Kementerian Luar meminta pihak Sekretariat Induk Ops Ihsan untuk mengambil tindakan sewajarnya memastikan tiga individu yang disenaraikan tidak lagi terbabit dengan Ops Ihsan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast