Bahana mengganggu ketenteraman awam - sekumpulan calon SPM diarah tolak motosikal ke balai polis.

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menunggang motosikal dan membuat bunyi bising akhir menerima padah di Hulu Selangor hari ini.

Akibatnya, mereka dikenakan tindakan menolak motosikal masing-masing  ke balai polis sejauh 3.5 kilometer selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada masyarakat setempat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kesemua remaja bersekolah itu diambil tindakan selepas dikesan di sebuah bangunan kosong, Jalan Kemboja, Bukit Sentosa di sini kira-kira pukul 2 petang tadi.

Kesemua mereka diarah untuk menolak motosikal ke Balai Polis Bukit Sentosa untuk pemeriksaan lanjut motosikal mereka.

“Tindakan ini diambil selepas polis menerima aduan daripada pihak sekolah dan juga penduduk di kawasan tersebut berkenaan bunyi bising ekzos motosikal.

“Pada hari ini sahaja polis sudah terima sebanyak enam aduan berkaitan bunyi bising motosikal membabitkan kumpulan pelajar sekolah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, pihaknya menjalankan pemeriksaan membabitkan seramai 28 remaja lelaki berusia 17 tahun itu dan 27 buah motosikal yang terlibat.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati 26 daripada mereka merupakan calon yang sedang menduduki peperiksaan SPM di sebuah sekolah menengah di kawasan tersebut.

“Hasil daripada pemeriksaan ke atas mereka, polis telah mengeluarkan enam saman K257 berkaitan tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi pada motosikal yang ditunggang pelajar-pelajar itu.

“Lagi pun, siasatan kami dan hasil maklumat penduduk juga mendedahkan bangunan kosong di Jalan Kemboja menjadi lokasi lepak kumpulan pelajar itu dengan motosikal bising mereka selain ia merupakan tempat biasa mereka berkumpul,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar berpakaian sekolah dilihat keletihan dan sedang menolak motosikal mereka di bahu jalan di Jalan Kemboja, Hulu Selangor. – MalaysiaGazette