Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melawat kaunter pada majlis perasmian pembukaan pejabat pasport Shaftbury di Pejabat Pasport Shaftbury, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 19 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA – Satu lagi pejabat pasport imigresen akan dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) bagi mempermudahkan lagi urusan dokumen perjalanan penduduk di negeri itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pejabat baharu itu akan dibuka menjelang Jun tahun ini.

Katanya, ketika ini pejabat tersebut masih disiapkan sebelum beroperasi sepenuhnya.

“Pembukaan pejabat Pasport Imigresen di LTAKK) ini dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan tanpa menambah jawatan tetapi permudahkan urusan masyarakat dengan imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Pejabat Pasport Imigresen Shaftbury Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut pembukaan pejabat pasport Shaftbury, Saifuddin berkata, ia adalah pejabat ke-78 dibuka oleh Imigresen.

“Pejabat Pasport Shaftbury salah satu cawangan yang hanya akan menerima permohonan untuk perbaharui pasport secara dalam talian sahaja dan ia telah beroperasi sejak 17 Januari yang lalu.

“Sebelum ini kita telahpun membuka sebanyak empat pejabat yang melakukan urusan pembaharuan pasport secara dalam talian termasuk pejabat di Wangsa Maju, Kajang dan Kelana Jaya.

“Di sini (Pejabat Pasport Shaftbury) saya dimaklumkan terdapat dua masalah dikenalpasti dalam proses pembaharuan pasport iaitu gambar yang tidak menepati spesifikasi ukuran antarabangsa serta cap jari yang mengkehendaki pemohon dikehendaki tampil ke kaunter untuk menangani masalah itu dan boleh memperolehi pasport pada waktu yang sama,” katanya .

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 3,057, 825 pasport dikeluarkan sepanjang tahun 2023, meningkat 20 peratus berbanding 2,574,435 pada tahun sebelumnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast