Dr Hasmadi (dua dari kiri) menandatangani surat niat bersama Fiona (dua dari kanan).

Kota Kinabalu – Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal bekerjasama dengan Shangri-La Rasa Ria Resort dalam melaksanakan empat agenda yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi tersebut.

Dekan FSMP, Prof. Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat berkata, kerjasama melalui surat niat antara kedua-dua organisasi itu adalah khusus kepada Program Perkhidmatan Makanan di FSMP.

Menurutnya, empat agenda tersebut adalah penempatan latihan industri pelajar FSMP, latihan bersama kakitangan, sokongan kepada aktiviti FSMP serta kolaborasi penyelidikan dan inovasi.

“FSMP akan berkongsi kepakaran berkenaan perkhidmatan dan keselamatan makanan manakala pihak Shangri-La Rasa Ria Resort pula akan menempatkan pelajar dan kakitangan FSMP untuk menjalankan latihan termasuk latihan industri.

“Kerjasama dengan Shangri-La Rasa Ria Resort dapat memberikan pendedahan kepada para pelajar FSMP untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kuliah kepada dunia pekerjaan yang sebenar.

“Surat niat ini sah dalam tempoh setahun dan akan disusuli dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama kedua-dua belah pihak,” katanya dalam kenyataan, Rabu lalu.

Sementara itu, Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria, Fiona Hagan berkata, pihaknya amat memerlukan kepakaran daripada FSMP dalam pengurusan sisa bahan dan makanan di resort berkenaan.

“Shangri-La Rasa Ria amat berbesar hati dan mengalu-alukan peluang kolaborasi ini bersama FSMP.

Majlis pemeteraian surat niat itu ditandatangani oleh Hasmadi yang mewakili FSMP UMS, manakala Shangri-La Rasa Ria diwakili oleh Fiona.– MalaysiaGazette