Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bersama timbalannya, Datuk Aiman Athirah Sabu menyaksikan tarian naga pada Majlis Madani Muhibah sempena Tahun Baru Cina 2024 di KPKT, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Bayaran Insentif Awal Penjawat Awam sebanyak RM2,000 yang akan diberikan Jumaat ini diharap menjadi pendorong kepada penjawat awam untuk bekerja sebagai satu pasukan dalam membina Malaysia Madani.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, aspirasi Malaysia Madani tidak akan dicapai tanpa kerjasama, sokongan dan dukungan daripada semua penjawat awam.

“Penjawat awam harus fokus dalam tanggungjawab sebagai benteng pertahanan terakhir negara, bukan sahaja menyelesaikan masalah dan melaksanakan polisi untuk memenuhi keperluan semasa di negara, tetapi juga mencorak masa hadapan dan memenuhi potensi negara.

“Apa yang berlaku hari ini, disebabkan sesuatu keputusan yang dibuat pada masa lalu. Ini adalah sebabnya kenapa kita perlu ada reformasi subsidi bersasar, mengkaji semula skim pencen, meningkatkan pengangkutan awam, mewujudkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bermodel baharu dan lain-lain lagi, ” katanya.

enteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berucap pada Majlis Madani Muhibah sempena Tahun Baru Cina 2024 di KPKT, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Madani Muhibah sempena Tahun Baru Cina 2024 di sini hari ini.

Menerusi Belanjawan 2024 tahun lalu, kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Selain itu, pemberian sebanyak RM1,000 juga diberikan kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

Jelas Kor Ming lagi, aspirasi Malaysia Madani untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan berazam menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara untuk memastikan kehidupan rakyat lebih bermutu menerusi kerangka Ekonomi Madani.

“Kita mahu Malaysia menjadi 30 ekonomi terbesar di dunia, mahu Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia dan mahu kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus.

“Selain itu, kita juga mahu meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia di pentas dunia serta mengangkat semula darjat dan martabat negara yang tercinta.

“Dalam dunia pasca normal, Malaysia harus bersedia untuk menghadapi kelajuan, skala, skop dan keserentakan; percanggahan yang begitu banyak, kerumitan yang kian bertambah.

“Kita perlu berkemampuan untuk menghadapi kekacauan. Inilah kenapa wujudnya Malaysia Madani sebagai panduan dan ikhtiar yang holistik, sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi,” jelasnya. – MalaysiaGazette