PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) merampas mercun tanpa permit membabitkan nilai dan cukai berjumlah RM694,000 dalam lima serbuan berasingan dari 5 hingga 8 Februari lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan pertama membabitkan 91 kotak mercun dengan nilai dan duti atau cukai berjumlah RM20,000 di sebuah gudang di Masjid Tanah, Melaka pada 5 Februari lalu.
“Bagi kes kedua pula, kastam merampas 100 kotak mercun dengan anggaran nilai dan duti atau cukai berjumlah RM20,000 dalam serbuan di sebuah premis gudang di Klang, 6 Februari lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Selain itu, pihaknya juga merampas 769 kotak mercun bernilai dan duti atau cukai berjumlah RM273,000 selepas menahan sebuah kontena serta pemeriksaan di sebuah gudang milik konsaini di Trong, Perak pada 7 Februari lalu.
“Bagi kes keempat pula, kami merampas 200 kotak mercun bernilai dan duti atau cukal berjumlah RM160,000 selepas satu kontena ditahan dan pemeriksaan sebuah gudang di sini pada 7 Februari lalu,” katanya.
Selain itu, katanya, pihaknya juga merampas 1,110 kotak mercun bernilai dan duti atau cukai berjumlah RM208,000.
“Rampasan itu hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis gudang di Klang, Selangor pada 8 Februari lalu,” katanya.
Kelima-lima kes mercun ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1Xa) Akta Kastam 1967.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar.
“Atau tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar.
“Tertuduh boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette