Seorang daripada 20 PATI warga Bangladesh yang sanggup terjun ke dalam longkang bercampur najis bagi mengelakkan ditahan dalam serbuan Ops Sapu di sebuah penempatan pekerja asing di Taman Kota Laksamana, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Seramai 20 lelaki warga Bangladesh sanggup terjun ke dalam longkang bercampur najis semata-mata mengelak daripada ditahan dalam serbuan Ops Sapu di sebuah penempatan pekerja asing di Taman Kota Laksamana di sini malam tadi.

Bagaimanapun tindakan pantas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka berjaya menahan semula 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 25 hingga 35 tahun dalam serbuan sekitar pukul 11.25 malam itu.

Pengarah JIM negeri, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, tindakan nekad mereka yang terjun ke dalam longkang sedalam lima meter itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Anirwan Fauzee Mohd Aini

“Kita berjaya menahan semula 11 PATI manakala baki sembilan orang lagi dapat meloloskan diri memandangkan persekitaran yang gelap dan membahayakan pasukan penguat kuasa untuk mengejar mereka.

“Dalam serbuan berakhir pukul 3 pagi itu, seramai 117 orang warga asing telah diperiksa dan 90 daripadanya terpaksa ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anirwan Fauzee, kesemua ditahan terdiri daripada 75 lelaki Bangladesh, empat lelaki Myanmar, Pakistan (1) dan dua wanita Indonesia.

Kesemua mereka lakukan kesalahan Akta Imigresen1959/63 (Akta 155)/Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Serbuan dibuat hasil aduan berkaitan lambakan warga asing yang bekerja tapak pembinaan sekitar Taman Kota Laksamana.

“JIM Melaka turut mengeluarkan satu saman kepada saksi iaitu pegawai keselamatan di premis tersebut,” katanya.

Seramai 117 orang warga asing telah diperiksa dan 90 daripadanya terpaksa ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Selain itu Anirwan Fauzee berkata, majikan kepada pekerja asing ditahan juga akan dikesan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan bertumpu kepada lokasi-lokasi panas yang menjadi tumpuan warga asing.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang menggaji PATI selain pihak yang cuba melindungi mereka,” katanya. – MalaysiaGazette