Mohd. Saiful Adey selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Jalan Duta KL hari ini daripada tuduhan membakar 34 motosikal dalam kejadian di PPR Kampung Muhibbah di Bukit Jalil Julai 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas kelindan lori yang didakwa membakar 34 buah motosikal di parkir bawah Blok G Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Bukit Jalil di sini dua tahun lalu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Norina Zainol Abidin membacakan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Saiful Adey Mohd Noor, 36, pada akhir kes pendakwaan tersebut.

“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan meneliti hujahan pasukan pembelaan serta pendakwaan didapati pihak pendakwaan gagal dalam membuktikan kes prima facie.

“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Mohd Saiful Adey yang berpakaian kemeja hitam dan berseluar jeans duduk di kandang tertuduh dalam keadaan bergari dilihat mengangkat kedua-dua tangan bergari sebagai tanda kegembiraannya selepas mendengar keputusan tersebut.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn dan peguam M Soosai Raj mewakili Mohd Saiful Adey.

Perbicaraan kes berkenaan dimulakan pada 5 Oktober 2022 dengan lima saksi pendakwaan telah hadir dan memberikan keterangan di mahkamah.

Pada 30 September 2022, Mohd Saiful Adey mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan cecair mudah terbakar iaitu petrol, sehingga menyebabkan motosikal terbabit hangus terbakar di parkir Blok G PPR berkenaan pukul 2.21 pagi 6 Julai 2022.

Dia didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu pada 7 Julai lalu, media melaporkan cemburu terhadap hubungan bekas isteri dengan salah seorang pemilik motosikal disyaki punca kelindan lori bertindak membakar motosikal milik mangsa yang diparkir di PPR Kampung Muhibbah.

Kejadian itu mengakibatkan sebanyak 34 buah motosikal milik penghuni lain turut hangus terbakar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast