Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Dua pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) dan Kuala Lumpur (KL) City masih bergelut dengan masalah tunggakan ketika musim baharu Liga Malaysia bakal membuka tirainya tiga bulan lagi.

Malah pemain Kedah terpaksa bekerja sambilan di restoran sebagai pencuci pinggan dan ada yang turut bekerja di kantin sekolah demi mencari duit untuk menyara hidup.

Situasi itu didedahkan oleh Arena Metro yang melaporkan tunggakan gaji pemain Kedah masih sangkut selama empat bulan.

Bukan sahaja skuad senior yang beraksi di Liga Super tidak dibayar gaji, ia turut dialami pasukan bawahan kelab itu.

“Tak ada (gaji tak bayar lagi). Selepas media dedahkan pasal isu ini awal bulan ini, pengurusan masih senyap saja. Tiada ada apa-apa berita pasal tunggakan gaji.

“Ramai pemain tak tahu nak buat apa. Saya dengar, ada pemain kerja di kantin sekolah. Ada juga pemain Piala Presiden dan Belia buat kerja cuci pinggan di kedai,” kata sumber kepada Arena Metro.

Sementara itu, pemain  KL City yang tidak didedahkan namanya mengakui kecewa apabila terpaksa meminta bayaran tunggakan gaji daripada pengurusan pasukan setiap bulan seperti seorang pengemis.

“Kami ini sudah macam pengemis pula meminta duit daripada mereka padahal itu hak kami. Bila tanya mereka selalu berjanji untuk menyelesaikan tapi sampai sekarang dah nak masuk bulan tiga (Mac) pun tak nampak bayang lagi. Saya pun ada kehidupan sendiri dan ada keluarga untuk di sara.

“Sebelum ini gaji tertunggak empat bulan tapi selepas dikeluarkan di media pada bulan lalu mereka ada bayar untuk sebulan (bayaran gaji September 2023). Tapi selepas itu mereka senyap dan masih lagi tertunggak tiga bulan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast