BANGI – Parlimen adalah lambang sistem terbuka dan ia merupakan platform untuk ahli-ahli Parlimen bertanya soalan, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.
Bahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mewujudkan satu sesi khas kepada kesemua ahli Parlimen untuk mengetengahkan sebarang soalan di Dewan Rakyat.
Oleh itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berkata, tiada kekangan untuk setiap ahli Parlimen untuk mengajukan pertanyaan.
“Ini pertama kali kita ada Perdana Menteri yang wujudkan PMQT (Sesi Soalan kepada Perdana Menteri) setiap minggu. Jadi nak tanya soalan dan sebagainya, saya rasa tidak ada kekangan,” katanya kepada media selepas menghadiri program Climate Action Knowledge Hub & Closing and Giveaway Grand Prize for Kempen Beli Produk Hijau di Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation, hari ini.
Nik Nazmi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Hassan Karim yang menggesa agar Anwar menggunakan platform Dewan Rakyat yang akan bersidang tidak lama lagi bagi menjelaskan kemerosotan nilai ringgit.
Kata Hassan, gesaan itu bukan untuk memberikan imej buruk kepada Anwar tetapi penting untuk rakyat diberi penjelasan mengenai kemerosotan mata wang tersebut.
Hassan membuat kenyataan itu susulan kejatuhan ringgit pada paras terendah dalam tempoh 26 tahun kepada hampir RM4.80 bagi setiap dolar AS pada Selasa lalu.
Anwar ditanya mengenai kejatuhan ringgit pada satu majlis di Sasana Kijang, namun berkata, persoalan itu akan dijawab oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM)
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour yang membuat kenyataan pada sebelah petang berkata, prestasi semasa ringgit dipengaruhi oleh faktor luaran sama seperti mata wang serantau lain.
Jelasnya, sebahagian daripada faktor itu termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat, kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China.
Tambah gabenor, pertumbuhan pada 2024 akan dipacu oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh.– MalaysiaGazette