KUALA LUMPUR – Hubungan antara pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris serta Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor kini memasuki fasa baharu.
Ini kerana kedua-dua mereka menunjukkan sikap profesional ketika bertemu di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.
Dalam satu video pendek dimuat naik, Muhammad Sanusi pada awalnya meminta izin daripada pemilik JDT untuk bergambar bersama-sama sebelum mereka sempat berbual antara satu sama lain.
Rakaman itu pastinya membuatkan orang ramai lebih tertarik untuk cuba mendalami arena bola sepak tanah air kerana masing-masing dapat menepikan kepentingan tersendiri di majlis terbuka.
Malah ada juga yang berasakan mereka sudah tidak lagi bermusuhan kerana kedua-dua individu berpengaruh tersebut sempat bergurau senda.
Muhammad Sanusi hadir dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 itu bagi mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam pertemuan yang turut mengumpulkan Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri-Negeri.
Sebelum ini, Tuanku Ismail dan Muhammad Sanusi pernah bertikam lidah gara-gara pelbagai hantaran sinis dibuat di media sosial.
‘Permusuhan’ antara kedua-dua difahamkan tercetus ketika Menteri Besar Kedah itu memegang jawatan berkenaan pada 2021.
Pertelingkahan berkenaan bagaimanapun senyap tahun lalu selepas KDA FC tidak lagi dimiliki penuh oleh KFA setelah kehadiran usahawan tanah air, Tan Sri Mohd Daud Bakar mengubah struktur pengurusan kelab. – MalaysiaGazette