Muhammad Hatta Kassim

KUANTAN –  Seramai 23 orang warga asing ditahan dalam serbuan Op Gegar dan Selera yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang  di sebuah pusat urut dan restoran di kawasan peranginan di Bentong, semalam.

Pengarahnya Muhammad Hatta Kassim berkata, serbuan yang dilakukan antara jam 3.30 hingga 5.50 petang itu mensasarkan premis perniagaan di kawasan ‘hotspot’ warganegara asing.

”Pasukan operasi yang terdiri daripada 17 orang pegawai itu telah bertidak hasil maklumat dari orang awam dan risikan pegawai Bahagian Penguatkuasa. memeriksa seramai 32 individu termasuk pelanggan di kedua-dua premis.

”Hasil pemeriksaan 23 orang warga asing terdiri daripada 14 wanita Myanmar,  sembilan lelaki Myanmar dan seorang lelaki China ditahan kerana tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk tinggal di Malaysia” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mereka ditahan kerana melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Kesemua tahanan yang berusia antara 19 hingga 43 tahun itu direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Tahanan Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut.

Majikan yang terlibat juga diberikan notis untuk hadir bagi membantu siasatan.

”JIM Negeri Pahang menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di lokaliti masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran PATI di negeri ini.

”Tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang menggaji serta memberi perlindungan kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette