KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mahu semua semua projek penyelenggaran dan penambahbaikan kemudahan di pintu masuk negara meliputi lapangan terbang dan pelabuhan disegerakan.
Ini juga untuk memastikan negara bersedia untuk bersedia menerima dan menampung peningkatan kedatangan pelancong asing ke Malaysia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara yang menjadi fokus ialah lapangan terbang serta pelabuhan perlu tampil dengan kemudahan efisien bagi mengelak kesesakan terutama di lapangan terbang di Tawau, Sabah dan Pulau Pinang.
“Pada masa sama projek naik taraf aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga perlu disiapkan dengan cepat.
“Seperti mana kita tahu lapangan terbang di Tawau itu kecil. Tidak dirangka untuk mendapat pelancong dari luar negara. Kita kena tarik pelancong dari luar. Tidak boleh siap atau baiki lapangan terbang dalam tempoh tiga atau empat tahun.
“Oleh sebab itu, saya minta semua kawasan ini disegerakan dan usaha (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke segerakan hal sedemikian. Lapangan Terbang Tawau dan Pulau Pinang yang sudah sesak untuk memudahkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay di sini hari ini.
Dalam pada masa sama beliau memberi peringatan tegas proses untuk menyegerakan projek-projek berkenaan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dan mengelak daripada amalan lama.
Jelasnya sinergi antara kementerian dan agensi perlu diperhebat bagi memastikan industri pelancongan negara kekal berdaya saing dan lebih berkembang. – MalaysiaGazette