KUANTAN – Seramai 50 kanak-kanak memanfaatkan cuti sekolah dengan menyertai Kem Dinamik Huffaz di Masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Sahah (UniPSAS).
Pengarah program, Umar Mat Zin berkata, kem hafazan berkenaan berlangsung selama lima hari dibantu oleh 15 fasilitator itu dianjurkan oleh Pusat Islam Masjid UniPSAS.
“Kesemua fasilitator merupakan mahasiswa UniPSAS berbakti kepada peserta bagi membimbing dan memanam minat mereka dengan dunia al-Quran.
“Peserta dari daerah dan kawasan berdekatan hadir 8 pagi hingga 5 petang selama lima hari tanpa bermalam. Mereka disediakan modul yang lengkap dan makanan sepanjang program bermula 19 sehingga 23 Februari lalu.
”Program yang julung kali diadakan medapat sambutan apabila penyertaan oleh pelajar berusia tujuh tahun hingga tingkatan tiga merebut peluang meningkatkan kefahaman teknik penghafazan yang betul,” katanya.
Beliau berkata sambutan daripada ibu bapa sangat positif dan tidak menolak kemungkinan melakasanakannya buat kali kedua pada masa akan datang.
Antara topik modul yang diktengahkan ialah kaedah membaca al-Quran, makhraj, sebutan berlagu, hukum dan asas tajwid, teknik hafazan, latihan dalam kumpulan dan aktiviti explorace.
Sementara itu, seorang peserta, Medina Zahara Muhammad, 13, ketika ditemui rasa bersyukur kerana dapat memanfaatkan aktiviti musim cuti sekoah dengan menyertai kem berkenaan.
Medina berpendapat aktiviti yang disertai membantu meningkatkan kefahaman dan minat mendalam dalam pengajian al-Quran dan hafazan.
”Alhamdulillah, saya dapat belajar cara baca al-Quran dengan betul, memahami kepentingan baca kitab Allah dan dapat menghafaz dua surah,” katanya. – MalaysiaGazette