Keadaan awal UUM.

SINTOK – Cantik, tenang dan mendamaikan. Itulah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkenal dengan keindahan alam, flora dan fauna yang memukau. Dilengkapi infrastruktur dan persekitaran kondusif UUM bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan modal insan dalam negara, malah turut memeriahkan pasaran modal insan global.

Namun pernahkan kita bayangkan UUM 40 tahun dahulu, bak kata orang lama UUM, Bistomi kalau hujan berselut, kalau panas berdebu.

Mengenang sejarah lalu, Bistomi memulakan kerjaya sebagai pekerja am di JPP, Tanah Merah pada 1984. Berpindah ke Lembah Sintok pada 1990 bermulalah episod sukar dan penuh cabaran berliku.

Nama penuhnya Bistomi Ismail, dengan nombor staf 055, sedangkan nombor staf baru sekarang sudah mencecah 6500, bermakna Bistomi merupakan staf ke-55 memasuki UUM sedangkan sekarang staf UUM mencecah ke-6500.

Suasana nyaman di UUM suatu ketika dulu.

“Keadaan ketika itu sangat susah dengan jalan yang teruk, masih belum berturap hanya tanah merah dari Changlun ke Sintok.

“Kiri kanan hutan belantara, nak jumpa sebuah rumah pun susah, kalau pergi kerja seorang diri mesti tengok kiri kanan kerana suasana sunyi sepi, gelap dan suram, tapi demi mencari sesuap nasi saya kuatkan semangat.

“Pernah suatu ketika Bukit Bunga Raya runtuh kami terpaksa balik ikut Bukit Tangga hingga tersesat.

“Masa masuk UUM, banyak bangunan dalam pembinaan, saya bersama Adham (sudah bersara) dan penyelia, Azizul Abdul Rahman (masih berhidmat di JPPI) diarahkan mengutip sisa yang ditinggalkan oleh kontraktor seperti besi buruk, batu-bata, kayu-kayan dan sampah.

“Staf tak ramai, pelajar dah nak masuk, jadi kami perlu mencuci kawasan sejauh mata memandang dari U-assist sehingga ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah di bawah panas terik, tiada pokok kayu untuk tumpang berteduh mahupun angin.

“Rasa macam buruh kasar mujur tuhan anugerahkan saya seorang ibu yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan kekuatan agar saya terus cekal menghadapinya,” luahnya yang akan mencecah usia 60 tahun pada Julai ini.

Bistomi Ismail antara pekerja awal di UUM.

Walaupun bangunan masih dalam pembinaan, UUM sudah menerima kemasukan pelajar sulung.

“Bila hujan turun jalan becak, lecah dan penuh selut bila musim panas pula keadaan berdebu akibat laluan lori dan jentera berat menyebabkan baju sentiasa dibasahi peluh sehingga staf pernah disangka buruh binaan,” katanya.

Apabila dilantik menjadi urusetia konvokesyen Bistomi melihat graduan menerima segulung ijazah beliau sering membayangkan graduan yang berada di pentas adalah anaknya dari situlah beliau mendoakan kejayaan buat mereka.

“Alhamdulillah Allah kabulkan doa saya, pada tahun 2019, dua orang anak konvo secara serentak. Betapa sayangnya saya kepada UUM sebab itu saya minta mereka belajar di sini, di tempat saya mencari rezeki,” ujarnya yang pernah bertugas di Jabatan Pendaftar dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Baru-baru ini, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan ketika menyampaikan ucapan Amanat Tahun Baru 2024 menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada staf yang setia bersama-sama UUM selama 40 tahun. Namanya turut menjadi sebutan.

“Ketika itu perasaan bercampur baur, terkejut, sebak dan terharu. Bila di penghujung kerjaya rasa diri sangat dihargai kalau boleh saya mahu terus berbakti dan tidak mahu tinggalkan UUM.

“Terima kasih UUM. Semuanya itu adalah rezeki dari Allah. Kita merancang, Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang,” kongsinya yang kini bertugas di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC). – MalaysiaGazette

Siti Fatimah Abdullah, UUM

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast