Wan Rosdy menyantuni anak -anak Pahang yang melanjutkan pengajian di Jordan.

KUANTAN – Seramai 200 anak-anak Pahang yang melanjutkan pelajaran di Jordan mendapat AS$100 seorang oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang turut menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada Badan Kebajikan Mahasiswa Pahang Jordan.

“Dalam lawatan kerja ke Jordan, saya mengadakan pertemuan dan ramah mesra bersama-sama 200 anak-anak Pahang yang sedang melanjutkan pengajian di universiti-universiti di negara tersebut.

“Alhamdulillah, mereka kelihatan sihat, ceria dan bersemangat serta sudah boleh menyesuaikan diri di negara Timur Tengah itu.

“Semoga anak-anak Pahang di Jordan dapat menjaga diri masing-masing serta belajarlah bersungguh-sungguh sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Insya-Allah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Delegasi Pahang sempat melawat beberapa lokasi bersejarah di Jordan.

Tambah Wan Rosdy, rombongan berkenaan berkesempatan melawat lokasi bersejarah dalam tamadun Islam, Gua Ashabul Kahfi.

Kehadiran mereka disambut  oleh Imam Besar Masjid Ashabul Kahfi, Dr. Almuatasem Bellah Alhnaity.

Lawatan tersebut memberikan peluang dan hikmah tentang kisah tujuh orang pemuda yang ditidurkan oleh Allah di dalam gua selama 309 tahun selepas melarikan diri daripada kekejaman Raja Decius dari Rom demi menjaga keimanan mereka.

“Dr. Almuatasem  turut menawarkan diri untuk mengajar pelajar-pelajar Pahang di Jordan di Masjid Ashabul Kahfi,” katanya.

Wan Rosdy mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Pahang mengadakan lawatan kerja ke negara Jordan dan Maghribi yang bermula 25 Februari hingga 3 Mac ini.

Mengiringi beliau, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak. – MalaysiaGazette