Amran didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pula Pinang atas dua pertuduhan menipu seorang lelaki bagi menyelesaikan kes mahkamah.

BUTTERWORTH – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu seorang lelaki menyerahkan RM8,000 bagi menyelesaikan kes dadah di mahkamah pada 2018.

Tertuduh, Amran Peaid, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa menipu lelaki 49 tahun iaitu mengaku kononnya akan menggunakan khidmat peguam yang dapat menyelesaikan pertuduhan mahkamah membabitkan kes dadah seorang lelaki lain berumur 50 tahun.

Dia didakwa dengan sengaja mendorong lelaki tersebut memindahkan wang RM3,000 dan RM5,000 ke dalam akaun bank seorang wanita yang merupakan pihak ketiga.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 dan 30 September 2018 di Bank CIMB cawangan Prima Tanjung, Jalan Fettes di George Town.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur ketika prosiding menawarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, K. Mahendran merayu mahkamah memberikan jaminan minimum atas alasan tertuduh tidak bekerja, menghidap sakit jantung dan diabetes selain mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan selain mengenakan syarat tambahan, perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Kes akan disebut semula 26 Mac depan bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette