Dua individu ditemui maut dalam kereta terkunci di Muadzam, Pahang. Gambar : Bomba Pahang

KUANTAN – Dua individu ditemui maut di dalam sebuah kereta berkunci di sebuah stesen minyak di Jalan Segamat – Kuantan petang tadi.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pukul 4.10 petang.

“Sebaik enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah tiba di lokasi didapati seorang lelaki dan wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kereta jenis Proton Satria berwarna hitam di parkir di situ,” katanya dalam kenyataan.

Susulan pintu kereta yang berkunci, bomba bertindak membuka pintu kereta dengan peralatan menyelamat.

Bagaimanapun, kedua-dua individu terbabit telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette