Bangunan Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyifatkan laporan sebuah portal kononnya kerajaan tidak membenarkan kakitangan kerajaan dan pesara mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sebagai mengelirukan.

Menurutnya, IJN khusus bagi rawatan kes rumit dan kritikal yang merupakan satu strategi untuk mengoptimumkan penggunaan sumber.

Manakala, pesakit yang stabil akan dirujuk bagi mendapat rawatan di 10 hospital awam yang menawarkan perkhidmatan kardiologi dan tujuh lagi menyediakan perkhidmatan kardiotoraks di seluruh negara.

“Bersama-sama hospital ini, IJN berfungsi sebagai pusat rujukan untuk pesakit yang memerlukan perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraks, termasuk penjawat awam, pesara, dan tanggungan mereka, dengan kerajaan menanggung kos rawatan.

“Bertentangan dengan implikasi artikel tersebut, hospital KKM dilengkapi dengan baik dan mempunyai kakitangan pakar perubatan dan pakar bedah bertauliah, menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan IJN,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, pesakit dibenarkan keluar dari IJN hanya apabila keadaan mereka stabil dengan tempoh pemantauan sekurang-kurangnya 6 bulan hingga satu tahun untuk orang dewasa dan satu hingga dua tahun untuk kanak-kanak.

Pesakit yang stabil kemudiannya dirujuk ke hospital KKM terbabit untuk rawatan berterusan di bawah jabatan kardiologi dan kardiotoraks.

Pendekatan strategik itu membolehkan kira-kira 4,000 pesakit baharu dirujuk ke IJN setiap tahun sekali gus memaksimumkan keberkesanan kos.

“Perlu diketengahkan juga kos yang berkaitan dengan rujukan pesakit ke IJN ditanggung oleh pembiayaan persekutuan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan.

“Walaupun perbelanjaan untuk rujukan ini meningkat setiap tahun, langkah kawalan kos yang berhemat adalah penting untuk merawat seramai mungkin pesakit dengan sumber sedia ada, memastikan keadilan kepada pembayar cukai.

“Justeru, kami berharap penjawat awam melihat dan menyokong keputusan kerajaan secara objektif,” katanya.

Melalui dasar tersebut KKM berhasrat untuk mencapai keseimbangan yang betul antara menjaga penjawat awam dan menyediakan perkhidmatan perubatan diperlukan kepada penduduk yang lebih luas.

Ia juga dapat mematuhi piawaian antarabangsa terbaik untuk perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraks.

Portal Code Blue menyiarakn tulisan seorang pesara penjawat awam yang diberhentikan rawatan selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN.

Pesara itu, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, alasan yang diberi ialah arahan kementerian supaya semua penjawat awam dan pesara perlu discaj ke pusat jantung KKM berhampiran rumah mereka.

“Saya membantah kerana masalah saya sangat rumit; pakar kardiologi kanan IJN bersetuju dengan saya. Tetapi saya diberitahu bahawa tangan mereka terikat kerana kerajaan sedang mengurangkan kos.

“Saya juga mendapat tahu pesara dan penjawat awam lain di seluruh negara, beberapa bulan lalu turut mengalami nasib yang sama,” kata beliau.- MalaysiaGazette