Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengurus dan menganggotai sebuah pertubuhan haram, Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia atau Ayahanda Harimau Kumbang (AHK). 

Pengurus pertubuhan berkenaan, Husin Hassan, 40, (kiri) dan anaknya Muhammad Aieril Amirul, 21, (dua, kiri) serta tiga lagi iaitu Mohamad Hassan, 39, (tengah) Hilmy Ibrahim, 50, (dua, kanan) dan Mohd Syamim Abdul Rahim, 39, (kanan) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

DUNGUN – Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengurus dan menganggotai sebuah pertubuhan haram, Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia atau Ayahanda Harimau Kumbang (AHK).

Pengurus pertubuhan berkenaan, Husin Hassan, 40, dan anaknya Muhammad Aieril Amirul, 21, serta tiga lagi iaitu Mohamad Hassan, 39, Hilmy Ibrahim, 50, dan Mohd Syamim Abdul Rahim, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara 1.40 pagi hingga 3.15 pagi di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Dungun pada 20 Jan 2023.

Atas kesalahan mengurus, Husin yang juga dikenali sebagai Ayahanda Husin Harimau Kumbang didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 kerana mengurus pertubuhan itu yang tidak berdaftar dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 atau kedua-duanya sekali.

Empat lagi yang dituduh kerana menganggotai pertubuhan itu pula didakwa mengikut Seksyen 43 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Husin dan Mohd Syamim juga berdepan pertuduhan kedua iaitu bersama-sama mencapai niat mengambil bahagian dalam pertubuhan tersebut yang menyalahi undang-undang Malaysia tanpa kebenaran penulis berdaftar.

Kesalahan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di Kampung Sura Jeti, di sini pada 1.40 pagi, 20 Jan 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(2) Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Najwa Mohd Ali manakala peguam Nohabibah Norulalzahar mewakili Mohd Syamim dan Hilmy.

Peguam Datuk Sukri Mohamed pula mewakili Husin, Mohamad dan Muhammad Aieril Amirul.

Mahkamah membenarkan Husin dan Mohd Syamim masing-masing diikat jamin RM9,000 dan RM7,000, manakala tiga lagi tertuduh dibenarkan ikat jamin masing-masing sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan semula mahkamah pada 18 Mac depan. – BERNAMA