Tertuduh, Mohamad Redwan Sabri, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pekerjanya dua minggu lalu.

MELAKA – Seorang majikan muda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pekerjanya dua minggu lalu.

Tertuduh Mohamad Redwan Sabri, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berumur 17 tahun 1 bulan sewaktu kejadian dengan cara memegang paha kanan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan dalam sebuah kereta jenis Isuzu Trooper di Jalan Solok Fajar, Bukit Nibong, Paya Dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 12.30 malam 14 Februari lalu.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM30,000 dan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa yang juga pekerjanya sehingga kes selesai.

Peguam, Sharveen Letchumanan bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sendiri sebagai jurukimpal dengan pendapatan bulanan RM1,500.

Tertuduh juga katanya adalah penyara tunggal lima anak yang masih kecil selain menjaga ayahnya yang sakit dan merupakan tuduhan pertama tertuduh.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azaraorni membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dan dikenakan syarat serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis.

Kes akan disebut semula 1 April ini. – MalaysiaGazette