Ustazah Asma’ Harun.

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun mengesahkan terpaksa menutup operasi kedai makannya yang di Seremban apabila tidak mampu menanggung kerugian lebih RM30,000 setiap bulan.

Menerusi satu siaran langsung di TikTok miliknya, beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menampung kerugian termasuklah membuat pinjaman, menjual aset-aset serta menggadai barang kemas.

Jelasnya, harga kos bahan mentah yang semakin meningkat memaksanya untuk membuat keputusan demikian walaupun kedainya baru beroperasi kurang tiga bulan itu terletak di kawasan strategik.

“Setiap bulan kita negatif RM30,000. Contohnya, lepas sebulan kita berniaga, akauntan beritahu ada RM2,000 je dalam akaun. Saya tanya semula ‘habis tu nak bayar gaji pekerja berapa perlu’.

“Akauntan pun beritahu bayar gaji pekerja nak dekat RM30,000. Bayar sewa pula kena cari lain. Kami buat macam mana, kami pinjam. Kami keluarkan simpanan ada, kami cairkan aset apa yang ada, semua kita jual.

“Barang kemas kita jual, simpanan kita keluarkan. Sampai bulan ini kami dah tiada apa-apa dah untuk kami tampung lagi. Ini bulan yang terakhir sebab kita nampak jualan masih sama,” katanya dalam video itu.

Mengulas lanjut, Ustazah Asma’ menambah, pihaknya tidak sanggup menaikkan harga makanan walaupun kos bahan mentah dan operasi semakin meningkat kerana tidak mahu membebankan para pelanggan.

“Kita nak naikkan harga kita tak sanggup padahalnya kos operasi untuk restoran lagi-lagi ada makanan laut sangatlah tinggi. Harga barang sebenarnya sangat mahal sekarang, semua mahal,” luahnya.

Ketika ini, Ustazah Asma’ mengakui beliau mencari mana-mana individu yang sanggup membeli perniagaan dan kedainya bagi memastikan tempat tersebut terjaga rapi.

Luahnya, antara faktor dirinya tidak dapat fokuskan kepada perniagaan restorannya itu juga adalah kerana jadual dakwahnya yang sangat padat.

“Sayang sangat tempat ni semua hiasan saya beli sendiri. Jadi mana-mana hamba Allah yang macam berminat nak beli perniagaan, boleh hubungi saya. Tempat ni sangat strategik.

“Mungkin boleh jadi kesuntukan masa saya dengan dakwah-dakwah dan urusan yang begitu banyak saya tak mampu nak beri fokus kepada kedai makan ni.

“Mengundur bukan beerti mengalah. Kita bukan mengalah tetapi terpaksa berhenti sekejap, bernafas supaya kita boleh berlari lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast