KUANTAN – Sebanyak 15 buah rumah kongsi yang dihuni 52 orang pekerja ladang sawit di sekitar daerah Maran diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang, semalam.
Pengarahnya, Muhammad Hatta Kassim berkata, dalam serbuan berkenaan, JIM telah melakukan pemeriksaan terhadap 52 warga asing dalam operasi yang bermula jam 1.50 hingga 6.05 pagi.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada 43 orang warga Indonesia dan 7 orang warga Myanmar setelah dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan.
Mereka ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada sebarang pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebih masa yang dibenarkan.
Muhammad Hatta berkata, walaupun terdapat cubaan melarikan diri, namun usaha tersebut berjaya dipatahkan kerana lokasi serbuan telah dikepung lebih awal.
Semua tahanan berusia antara 7 bulan hingga 75 tahun itu direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette