Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa proaktif dalam memastikan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan menerusi aktiviti dalam dan luar bilik darjah.

“Melalui bahasa ini, semangat perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan murid sejak daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan ini bagi merafak sembah menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena pembukaan penggal ketiga, Parlimen ke-15 pada 26 Februari 2024 yang turut menyentuh beberapa perkara yang melibatkan bidang pendidikan.

KPM juga memanfaatkan teknologi dan digital secara berterusan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Dasar Pendidikan Digital (DPD) dirangka bertujuan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing dan berupaya mengguna pakai teknologi untuk pembelajaran serta memanfaatkan inovasi digital di sekolah atau di mana sahaja.

Selaras dengan perjanjian Malaysia 1963, KPM turut komited dalam meneruskan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dalam memastikan pendidikan di kedua-dua negeri tersebut dapat terus ditingkatkan untuk manfaat semua warga pendidikan.

Bagi melahirkan murid yang berkemahiran tinggi dan dapat memenuhi keperluan industri dan negara, KPM akan terus memperkasa bidang STEM dan TVET, malah KPM juga telah menyediakan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang selari dengan hasrat tersebut.

Tambahnya, seiring dengan usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membantu mengurangkan bebanan ibu bapa, pelbagai bentuk bantuan persekolahan telah disediakan kepada murid oleh KPM termasuklah Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Rancangan
Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Dalam usaha meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti pula, pendidikan karakter dan manusiawi turut diberikan perhatian di samping penekanan kepada aspek karamah insaniah bagi memastikan generasi akan datang mempunyai akhlak, berintegriti dan mempunyai jati diri yang kukuh bagi memenuhi aspirasi nasional.

Menyedari kepentingan pendidikan bagi setiap warganegara tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang, KPM telah melaksanakan langkah awal dalam menyelaras pendidikan prasekolah di Malaysia agar isu keciciran ditangani dari peringkat awal KPM akan terus berusaha untuk memastikan saranan Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast