MYAirline
Gambar hiasan.

BATU GAJAH – Syarikat yang sebelum ini berminat untuk melabur dalam MYAirline Sdn Bhd (MYAirline), kini telah menarik diri daripada meneruskan hasrat itu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, dalam pertemuan sebelum ini, syarikat terbabit sudah menandatangani perjanjian untuk melabur dalam MYAirline, namun masih tertakluk kepada beberapa syarat dalam dokumen berkenaan.

Ini termasuk menyelesaikan isu pembayaran gaji pekerja dan bayaran balik wang kepada penumpang terjejas susulan pemberhentian operasi syarikat penerbangan itu.

“Semalam kita ada menerima surat daripada syarikat tersebut yang sebelum ini dikatakan mahu melabur dalam MYAirline.

“Mereka memaklumkan kepada pihak kerajaan melalui surat kepada MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) bahawa telah membatalkan hasrat untuk melabur dalam MYAirline. Itulah keadaannya sekarang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Akademi Keretapi Tanah Melayu (KTM) Keenam di sini, hari ini.

Pada 7 Februari lepas, Loke memaklumkan bahawa pihak kementerian telah bertemu dengan pelabur berpotensi baharu MYAirline dan berkata sebarang keputusan komersial terserah sepenuhnya kepada pihak pengurusan syarikat penerbangan itu.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata, kini terpulang kepada MYAirline untuk mengambil sebarang tindakan susulan, namun perlu mematuhi obligasi berkaitan isu pembayaran gaji pekerja dan bayaran balik kepada penumpang terjejas.

Selain itu, Loke menjelaskan bukan semua tiket penerbangan ditawarkan pada harga maksimum RM599 untuk kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi tempoh perjalanan tiga hari menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini, seperti diumumkan sebelum ini.

Sambil menyifatkan tiada satu harga yang mampu memuaskan semua, beliau berkata, penetapan harga maksimum itu dilakukan mengikut kemampuan kewangan kementerian itu.

“Bukan semua tiket dijual pada kadar harga maksimum, mungkin ada lebih rendah. Itu yang kita mampu buat setakat ini kerana tiada peruntukan tambahan untuk inisiatif ini.

“Saya terpaksa mencari jalan bagaimana menampung perbelanjaan ini kerana apabila kita letak harga maksimum, baki atau kekurangan itu perlu ditampung oleh kementerian kepada syarikat penerbangan.

“Sekiranya saya minta syarikat penerbangan untuk menyerap kos ini, mereka akan kurangkan kapasiti. Siapa mahu beroperasi seandainya rugi…ini kerana ada syarikat penerbangan yang bukan milik kerajaan, tetapi swasta,” katanya.

Sehubungan itu, Loke menasihatkan penumpang supaya merancang perjalanan lebih awal memandangkan tiket penerbangan dan kereta api boleh dibeli seawal enam bulan sebelum tarikh perjalanan.

Pada 24 Februari lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan menetapkan RM599 sebagai harga maksimum itu dalam usaha membantu orang ramai pulang beraya pada April ini. – Bernama