Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim

KUALA LUMPUR – Tuduhan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa terdapat lima lagi ahli Parlimen pembangkang akan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ‘dibeli’ adalah tidak benar.

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, dakwaan Wan Saiful itu merupakan fitnah.

“Apa telah dilemparkan kepada Parlimen (semalam) adalah tak benar dan satu fitnah semata-mata kerana apa kita buat sokong PMX (Perdana Menteri ke-10) sekarang adalah satu sokongan ikhlas daripada kita sebagai ahli Parlimen,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Mohd Azizi berkata demikian mengulas teks ucapan Wan Saiful di Dewan Rakyat semalam yang mendakwa lima lagi ahli Parlimen Bersatu akan mengisytihar sokongan kepada pentadbiran Anwar, kononnya mereka sudah dibeli dengan rasuah.

Ia berdasarkan kepada salinan teks ucapan oleh Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa perbahasan titah diraja, yang mana ia tidak dapat dibahaskan oleh beliau.

Berdasarkan teks itu, Wan Saiful berhasrat untuk menyatakan lima Ahli Parlimen Bersatu – iaitu salah seorang daripada kawasan Parlimen di Selangor, masing-masing dua di Perak serta Kedah kononnya akan menyokong Kerajaan Perpaduan selepas menerima habuan daripada individu tertentu.

Wan Saiful mendedahkan, beliau turut ditawarkan habuan sebagai balasan antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal mendedahkan terdapat beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang ingin menyatakan sokongan terhadap Anwar namun langkah itu terhenti apabila terdapat usaha oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyekat tindakan berkenaan.

“Berapa (Ahli Parlimen Bersatu akan sokong PMX) saya tak dapat bagi tetapi memang ada. Cuma sekarang ini pihak pembangkang buat usaha untuk tidak membenar mereka beri sokongan termasuk gembar-gemburkan sebagaimana dibuat (Ahli Parlimen) Tasik Gelugur semalam,” kata Syed Abu Hussin dalam sidang media sama.

Setakat ini, Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan perdana menteri ialah Syed Abu Hussin, Zulkafperi, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast