Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat 2024 di Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 05 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera bagi mengekalkan pemilikan tanah golongan itu yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan itu antara tiga ikhtiar yang perlu dilaksanakan dalam pemerkasaan Bumiputera.

“Saya menganjurkan agar diwujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera yang bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

“Langkah ini saya percaya dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada Bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara.

“Melalui perancangan teliti dan strategik, setiap kawasan usaha diharapkan memberi manfaat maksimum kepada komuniti Bumiputera, mencipta kelestarian ekonomi yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ketika merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi Bumiputera selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengesyorkan bagi tanah berstatus pajakan, peratusan tertentu diserahkan semula kepada kerajaan apabila sampai tempoh tamat pajakan untuk diurus oleh perbadanan yang dicadangkan.

Beliau menyarankan ketetapan itu dikenakan bagi tanah berstatus pajakan melebihi 20 hektar membabitkan kawasan pertanian atau melebihi lapan hektar bagi plot industri.

“Apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan diurus tadbir melalui perbadanan ini,” katanya.

Sementara itu, KEB 2024 membawa tema Positif. Progresif. Inovatif, menjadi platform menetapkan hala tuju serta pendekatan baharu Agenda Pemerkasaan Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif selari dengan aspirasi Malaysia Madani

Kongres ini adalah merupakan kesinambungan beberapa siri KEB yang telah dianjurkan sejak kali pertama pada 5 hingga 7 Jun 1965.

Ia disusuli dengan KEB kedua pada 7 hingga 9 September 1968 – MalaysiaGazette