Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung ketika Karnival Kerjaya MyFuture Jobs Kesuma Madani OKU dan TVET serta Pelancaran Insentif Skim Sokongan Pekerjaan 2024 di Pusat Konvensyen Idea (IDCC), Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 01 MAC 2024.

SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diberi tempoh satu bulan untuk memberi cadangan format baharu program “upskilling” tenaga kerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu program “upskilling” luar daripada kebiasaan dalam sistem pendidikan negara.

“Saya mahu Perkeso dan Kesuma mendepani persoalan ini, ada kebebasan dan ruang, ‘upskilling’ yang luar daripada sistem pendidikan yang biasa kita kenal.

“Dalam tempoh satu bulan ini, apa cadangan Ketua Setiausaha dan Perkeso yang nak diangkat kepada Menteri supaya dapat dimaklumkan kepada saya dan Jemaah Menteri.

“Keputusan yang dibuat cadangan bagaimana boleh kita adakan kejutan baharu dalam bentuk latihan termasuk apa yang dikatakan ‘upskilling’ jauh lebih hebat daripada apa yang kita lakukan sebelum ini,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berucap merasmikan Karnival Kerjaya MyFuture Jobs Kesuma Madani OKU dan TVET serta Pelancaran Insentif Skim Sokongan Pekerjaan 2024 di Pusat Konvensyen Idea (IDCC), Shah Alam.

Perdana Menteri berkata, untuk melakukan perubahan itu, beliau memberi jaminan meminda beberapa peraturan khususnya karenah birokrasi.

“Kita akan ketepikan beberapa karana birokrasi, KSU akan pastikan, kita akan cuba ubah beberapa peraturan yang ada.

“Bawa kepada Menteri dan Kementerian, kalau perlu bawa ke Jemaah Menteri, asalkan kita boleh capai kemajuan yang kita harapkan.

“Malaysia berhak terangkat semula sebagai negara maju dan hebat di dunia,” katanya.

Katanya, Malaysia tidak boleh melonjak ke depan dengan pertahankan pencapaian sedia ada.

“Sistem pendidikan kita memang baik, tenaga kerja dan jurutera kita memang baik, lulusan TVET kita baik, tapi tidak cukup dalam persaingan dengan perubahan yang sangat cepat.

“Orang yang mengikut kaedah lama akan ketinggalan, kita mahu Malaysia ini hebat, kita mahu Malaysia ini maju, dan dapat bersaing dengan semua negara maju.

“Kita tidak boleh capai kalau kita guna kaedah lama,” katanya. – MalaysiaGazette