Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan cek sumbangan kutipan Dana Kemanusiaan Palestin sebanyak RM11.5 juta kepada Kementerian Luar Negeri (KLN).

KPM menerusi kenyataan berkata, sumbangan tersebut berjaya dikumpul menerusi penganjuran Minggu Solidariti Palestin.

“Sumbangan diserahkan kepada KLN selaku Kementerian yang bertanggungjawab menyelaras bantuan Kerajaan Malaysia kepada Palestin,” katanya.

Serahan sumbangan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPM, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi yang dalam masa yang sama  mengadakan acara kunjung hormat ke atas Ketua Setiausaha KLN, Datuk Seri Amran Mohd Zin.

Tambah kenyataan itu, ketika pertemuan kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai situasi terkini termasuk usaha membantu menangani krisis kemanusiaan di Palestin.

“KPM sentiasa bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin serta komited untuk mendidik murid dan seluruh warganya tentang nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia, keamanan dan sifat ihsan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette