Megat Jalaluddin Megat Hassan (kanan) menerima surat pelantikan daripada Abdul Razak pada majlis ringkas di Ibu Pejabat TNB, Bangsar pada pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan hari ini dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tempoh dua tahun.

Beliau yang sebelum ini memikul tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) TNB, menggantikan Datuk Seri Ir. Baharin Din yang menamatkan tempoh perkhidmatannya semalam.

“Sebagai seorang yang berpengalaman dalam industri tenaga dan telah menerajui pelbagai peranan utama dalam TNB sejak tahun 1989, termasuk sebagai Ketua Pegawai Strategik, Ketua Pegawai Retail dan Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga, Megat Jalaluddin dianggap sebagai pemimpin yang berkaliber untuk membawa syarikat ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan memberikan nilai tambah kepada semua pihak berkepentingan.

“Sebagai CEO TNB baharu, beliau akan meneruskan amanah mengemudi Syarikat untuk menggerakkan pertumbuhan perniagaan TNB dan mengendalikan agenda peralihan tenaga
Syarikat ke arah pelepasan sifar bersih, selaras dengan matlamat neutral karbon Malaysia menjelang 2050 demi membina masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang,” kata TNB menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau menerima surat pelantikannya daripada Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid pada majlis ringkas di Ibu Pejabat TNB, Bangsar pada pagi tadi.

Dalam ucapannya, Abdul Razak mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Megat Jalaluddin serta menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas pelantikan tersebut.

“Barisan pengurusan dan seluruh warga kerja TNB mengalu-alukan Megat Jalaluddin sebagai CEO TNB baharu untuk menerajui dan membawa Syarikat ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi serta meningkatkan nilai kepada semua pemegang taruh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast