KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih, Kim Pan Gon mengekalkan 21 pemain yang dibawa ke Piala Asia 2023 untuk menjalani sesi latihan pusat skuad negara yang akan bermula 8 Mac ini.
Latihan pusat kali ini bertujuan untuk menghadapi perlawanan ketiga dan keempat Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat pada 21 Mac 2024 dan di Bukit Jalil pada 26 Mac depan.
Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), seramai 12 pemain lain turut dipanggil bagi melengkapkan senarai 33 pemain.
Pemain itu ialah Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad dan Safwan Mazlan (Terengganu FC), Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, Ruventhiran dan Aliff Izwan Yuslan dari Selangor FC.
Turut dipanggil penyerang, Haqimi Azim Rosli dari Kuala Lumpur City FC dan pemain baharu Sri Pahang FC, T. Saravanan.
Bagaimanapun, sebahagian daripada 33 pemain ini akan melapor diri lewat pada 15 Mac ini dan sejurus selepas kehadiran mereka, beberapa pemain yang berusia bawah 23 tahun akan dilepaskan ke kem latihan pusat skuad B-23 negara kendalian Juan Torres Garrido.
“Namun, kita tetap perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi dua perlawanan menentang Oman ini dan atas sebab itu saya memulakan kem latihan pusat pada 8 Mac dengan memanggil sama beberapa pemain dari skuad B-23 kebangsaan.
“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terlibat, sebahagian pemain hanya akan melapor diri pada 15 Mac kerana saya faham yang mereka baru saja kembali dari bercuti dan baru memulakan latihan bersama kelab, berbanding pemain-pemain lain yang telah lebih awal turun berlatih bersama kelab masing-masing,” ujar Pan-Gon. – MalaysiaGazette