Rosmah Mansor. Foto MUHD NA’IM, 24 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan belum memuktamadkan representasi ketiga Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7.09 juta dan lima kesalahan kerana gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti beberapa fakta baharu yang dibangkitkan Rosmah sebelum membuat keputusan berkaitan perkara itu.

Tambah beliau, pasukan pendakwaan juga cuba menghubungi beberapa orang saksi mengenai perkara itu.

“Kami masih memerlukan masa untuk putuskan representasi ini, kita mohon mahkamah sambung prosiding pada tarikh akan datang bagi menjimatkan masa mahkamah” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy.

Berikutan itu, Muniandy menetapkan 4 Julai ini bagi mendengar hujahan permohonan isteri bekas Perdana Menteri itu. -MalaysiaGazette