Mohamad Morshidi Abdul Ghani

PUTRAJAYA – Sarawak menyasarkan peningkatan status sosio ekonomi bumiputera di negeri itu khusus dalam bidang keusahawanan menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) menjelang 2030.

Bekas Setiausaha Kerajaan Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, melalui PCDS, kerajaan negeri menyasarkan tiga penyenaraian syarikat bumiputera dalam Bursa Malaysia.

Langkah itu, katanya, bagi melahirkan tujuh bumiputera champion bagi setiap sektor serta 20 peratus pertukaran syarikat mikro bumiputera kepada sendirian berhad.

“Jika berdasarkan rekod, hanya 4,319 atau 5.1 peratus perniagaan bumiputera yang berdaftar dengan dewan perniagaan daripada 83,708 perniagaan berdaftar di Sarawak.

“Sebab itu, Sarawak menerusi PCDS mahu memastikan jumlah ini dapat ditingkatkan terutama melalui tujuh sektor utama yang dikenal pasti iaitu pembuatan, pertanian, pelancongan, perhutanan, perlombongan, perkhidmatan dan pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil libat urus bagi kluster Sosioekonomi Bumiputera Wilayah Sarawak pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sarawak (PICC) hari ini.

Mohamad Morshidi berkata, bagi usaha menukar 20 peratus syarikat bumiputera kepada sendirian berhad, syarikat terbabit akan diberi bantuan daripada agensi kerajaan Persekutuan atau negeri dan institusi kewangan manakala pendapatan tahunan syarikat akan dipantau untuk memastikan pertumbuhan dan pergerakan yang positif.

“Bagi inisiatif tujuh bumiputera champion bagi setiap sektor PCDS, setiap dewan perniagaan Bumiputera akan mencalonkan sekurang-kurangnya satu syarikat dengan jumlah minimum syarikat yang menyertai rancangan enam tahun ini adalah 49 syarikat bumiputera.

“Manakala bagi inisiatif tiga penyenaraian syarikat Bumiputera dalam Bursa Malaysia, setiap Dewan Perniagaan akan mencalonkan sekurang-kurangnya satu syarikat bumiputera dengan keuntungan selepas cukai minimum RM10 juta bagi tahun kewangan 2023,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak melalui agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dengan kerjasama dewan usahawan bumiputera akan merangka pelan tindakan ekonomiĀ  yang komprehensif.

Jelasnya, ia bertujuan untuk memajukan kepentingan sosioekonomi dan peluang untuk masyarakat bumiputera Sarawak di rantau ini.

“Sarawak juga berhasrat untuk meningkatkan keupayaan perniagaan Bumiputera terpilih dan memasukkan mereka dalam inisiatif ekonomi baharu Sarawak.

“Ini akan memperkasa mereka untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Sarawak dan mampu bersaing pada skala global,” tambahnya. – MalaysiaGazette