MBPP merampas 25 buah e-skuter dalam serbuan di Lebuh Pantai di sini, semalam.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merampas 25 buah skuter elektrik atau e-skuter dalam satu serbuan di Lebuh Pantai di sini, semalam.

MBPP dalam satu kenyataan di Facebook berkata, serbuan itu dibuat Jabatan Pelesenan dan Pasukan Risikan/Operasi Jabatan Penguatkuasaan MBPP jam 11 malam susulan aduan orang awam mengenai aktiviti e-skuter yang mengancam keselamatan orang awam yang melalui kawasan tersebut.

“Hasil serbuan mendapati seorang lelaki Bangladesh mengoperasikan perniagaan tersebut tanpa memiliki lesen perniagaan yang sah.

“Susulan itu, kita telah merampas 25 buah e-skuter yang dijadikan sebarang barang perniagaan oleh lelaki tersebut,” katanya hari ini.

Rampasan dibuat susulan lelaki tersebut didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Tambah MBPP, pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan dan tindakan terhadap premis-premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen terutama membabitkan kenderaan mikromobiliti bagi menjaga keselamatan orang awam yang menggunakan lalu lintas.

“Kita juga mengingatkan orang awam dan pengunjung di negeri ini agar tidak menaiki e-skuter di atas jalan raya kerana e-skuter yang bersifat mikro mobiliti dan hanya digunakan di satu kawasan yang diasingkan dari jalan raya,” tegasnya.

Sebelum ini tular satu rakaman video memaparkan seorang wanita tempatan mengadu keselamatan mereka yang melalui dan menetap di kawasan berhampiran terancam akibat aktiviti e-skuter.

Wanita itu mendakwa, kebanyakan orang awam menunggang e-skuter itu secara laju sehingga  gagal mengawal kenderaan tersebut sekali gus mengakibatkan kemalangan dengan pejalan kaki atau melanggar kenderaan yang di parkir di kawasan itu. – MalaysiaGazette