Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Selayang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2024.

SELAYANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini akan membuat pindaan Perlembagaan parti susulan tindakan enam ahli Parlimennya (MP) yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pindaan itu selaras dengan pelaksanaan peraturan Akta Anti Lompat Parti 2022 dan Perkara 49 (a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, dengan pindaan tersebut, mana-mana ahli Bersatu yang dipilih sebagai Ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan terhenti serta-merta keahliannya jika menyokong pihak lawan.

“Hasrat kita untuk meminda Perlembagaan parti kita yang harapnya akan diluluskan dalam Perhimpunan Agung Khas ini.

“Ia bertujuan untuk menyelaraskan peruntukan Perlembagaan Bersatu dengan Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan mengenai undang-undang Akta Anti Lompat Parti 2022.

“Dengan pindaan ini Insya-Allah setiap ahli Bersatu yang dipilih sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Pilihan Raya akan datang.

“Keahlian mereka akan terhenti dengan serta-merta jika beliau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan ataupun pendirian kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Setakat ini, enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri ialag Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Selain itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan tindakan enam ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Kerajaan Madani sebagai pengkhianat parti.

“Kita terpaksa buat pindaan ini kerana terdapat enam ahli Parlimen Bersatu yang khianat kepada perjuangan parti kita, dengan menyatakan sokongan kepada musuh parti kita tanpa mereka keluar parti.

“Patut mereka keluarlah, tak keluar tapi sokong Madanon (Madani), dekat luar dalam kenyataan mereka mengaku setia kepada parti, sokong presiden parti, tapi dalam masa sama sokong musuh parti kita,” katanya.

Tambah beliau, dengan pindaan itu, keahlian enam Ahli Parlimen Bersatu itu akan terhenti, kerusi Parlimen terbabit perlu dikosongkan dan pilihan raya akan diadakan semula.

“Kita akan hantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat, kekosongan kerusi Labuan, Kuala Kangsar, Jeli, Gua Musang, Tanjong Karang dan Bukit Gantang.

“Jangan pula Speaker nanti berdolak-dalih kerana ini adalah proses demokrasi.

“Kita akan pastikan Perikatan Nasional (PN) menang besar dalam pilihan raya kali ini sebab ini semua kerusi Bersatu,” katanya. – MalaysiaGazette