Bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan melibatkan 21 orang di Kilometer 20 Jalan Sitiawan-Ipoh pada Ahad. Foto JBPM Perak

MANJUNG – Seramai 22 orang melibatkan penumpang dan pemandu bas ekspres serta seorang pemandu pacuan empat roda dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Sitiawan-Ipoh berhampiran sebuah stessn minyak di Changkat Cermin dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner, Mohamed Nordin Abdullah berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Menurutnya, sewaktu kejadian kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari Lumut ke Ipoh.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan Toyota Hilux yang berada di sebelah laluan kanan menukar haluan ke kiri secara tiba-tiba sehingga menyebabkan bas tersebut tidak sempat menekan brek dan terbabas.

“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu bas berusia 41 tahun dan pemandu pacuan empat roda berusia 63 tahun mengalami kecederaan parah.

“Manakala, penumpang bas seramai 20 orang terdiri daripada sembilan lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 63 tahun turut cedera dalam kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette